KLANG – Polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan anak perempuan kepada seorang pensyarah hampir diculik sekumpulan suspek menaiki van putih, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung insiden itu daripada bapa mangsa berusia 38 tahun kira-kira pukul 10.35 malam, Sabtu lalu.
Katanya, berdasarkan laporan tersebut kanak-kanak berusia sembilan tahun memaklumkan kepada bapanya telah didekati dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah van berwarna putih dengan tidak diketahui nombor pendaftarannya kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Semasa kejadian, kanak-kanak itu sedang bermain dengan empat rakannya berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Kapar.
“Pemandu van tersebut menarik tangan kanak-kanak perempuan itu dan memaksanya memasuki kenderaan tersebut.
“Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan telah meronta dan menggigit tangan lelaki tersebut sebelum suspek melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kata beliau, semasa kejadian kawan-kawan kepada kanak-kanak tersebut berada agak jauh dan hanya mendengar jeritan suspek tersebut yang telah digigit tangannya.
Tambah Vijaya, kanak-kanak perempuan itu mengalami rasa sakit di tangan kanan akibat ditarik suspek.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana cubaan culik
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubungnya,” jelasnya.
Terdahulu, laporan polis berhubungnya tular di media sosial dengan netizen melahirkan kebimbangan berkaitan perkara tersebut. -KOSMO! ONLINE