KLANG – Seorang kanak-kanak lelaki terperangkap dalam mesin pengering pakaian lebih 30 minit di rumahnya sendiri di Sungai Udang di sini sebelum diselamatkan bomba, hari ini.
Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa berusia enam tahun yang mempunyai sindrom hyperaktif itu bermain di dalam mesin tersebut.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 1.52 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat awal semasa kejadian terdapat ahli keluarga termasuk ibu bapa mangsa di rumah tersebut.
“Anggota bertindak menarik keluar kanak-kanak tersebut dari mesin pengering pakaian.
“Hasil pemeriksaan tiada sebarang kecederaan pada kaki mangsa sebelum diserahkan kepada ayahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, operasi kemudiannya ditamatkan kira-kira pukul 2.29 petang. -KOSMO! ONLINE