SAINT PAUL, MINNESOTA – Seorang wanita Amerika Syarikat (AS) berjanji untuk memberi ganjaran lumayan kepada anak lelakinya pada ulang tahun yang ke-18 jika dapat mengelak daripada menggunakan media sosial, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Menerusi cabaran yang bermula pada 2016 itu, Lorna Goldstrand Klefsaas dari negeri Minnesota menawarkan wang berjumlah AS$1,800 (RM7,560) kepada anaknya, Sivert Klefsaas.
Setelah berjaya menyelesaikan cabaran dengan menjauhkan diri daripada media sosial, Sivert menerima ganjaran berkenaan pada hari lahirnya yang ke-18.
Lorna berkongsi sebuah hantaran yang mendokumentasikan keseluruhan cabaran.
“Enam tahun lalu, saya tawarkan wang AS$1,800 (RM7,560) kepada Sivert untuk menjauhkan diri daripada media sosial sehingga dia berusia 18 tahun.
“Walaupun wang itu adalah banyak untuk kanak-kanak berusia 12 tahun tetapi tidak kepada remaja 18 tahun, namun dia tetap meneruskan perjanjian kami.
“Dia akan berusia 18 tahun esok. Dia akan mendapat wang berkenaan termasuk akaun baharu di aplikasi Instagram, Snapchat dan Twitter. Untuk pengetahuan anda semua, ia adalah wang paling berguna pernah saya belanjakan,’’ tulis Lorna ketika berkongsi imej anaknya.
Wanita berkenaan memutuskan untuk memulakan cabaran tersebut selepas mendengar mengenainya di radio. Dia bahkan pernah melihat anak perempuannya terlalu obses dengan Snapchat sehingga menjejaskan emosinya. – Agensi