SUBANG – Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) menerima enam unit helikopter jenis MD530G hari ini sekali gus berupaya meningkatkan kesiagaan dan keupayaan tentera darat dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, peranan helikopter tersebut ialah sebagai pesawat tempur ringan dan dilengkapi kuasa tembakan jenis Gatling Gun, Heavy Machine Gun dan pelancar roket.
“Keupayaan kuasa tembakan dimiliki pesawat itu juga mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter ke tujuh kilometer selain ketangkasannya membolehkan pelaksanaan penugasan tinjauan udara.
“Jadi, demi mendokong tonggak pertama tentera darat iaitu kelangsungan misi dan kesiagaan, helikopter itu akan diaturgerak untuk tugas operasi di semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ketibaan Helikopter MD530G di Hangar 2, Invation Aero di sini tadi.
Katanya, seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik telah menyertai program latihan di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat selama 43 hari sebelum dibenarkan mengendalikan pesawat tersebut.
“Selain itu, demi memastikan kualiti pesawat menepati spesifikasi tentera darat, satu tim pemeriksaan pra-penghantaran dihantar ke Arizona untuk melakukan tugas pemeriksaan pesawat.
“Ia merangkumi pelbagai pemeriksaan termasuklah fungsi, fizikal alat ganti, flight training device simulator dan fizikal persenjataan,” jelasnya.
Terdahulu, helikopter itu selamat tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Februari lalu selepas melalui pelayaran selama 31 hari dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat. -KOSMO! ONLINE