PETALING JAYA – Langkah pengembangan agresif Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) dalam perniagaan baharu khususnya dalam segmen penjagaan kesihatan dan pembuatan sarung tangan telah membuahkan hasil dan membantu meningkatkan keputusan kewangan positif kepada Kumpulan.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Teoh Hai Hin berkata, bagi menghadapi persekitaran yang terus mencabar, pihaknya berkeyakinan untuk kekal berdaya tahan dan akan terus berusaha mencatat prestasi yang lebih baik dalam suku kewangan akan datang.
“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan beberapa lagi projek baharu, yang mana jika ia menjadi kenyataan, akan meletakkan Kumpulan pada kedudukan yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Bagi tahun keputusan suku pertamanya yang berakhir pada 31 Disember 2021 (Q1FY22), pendapatan Hong Seng pada suku dalam kajian menunjukkan peningkatan tiga kali ganda kepada RM75.86 juta berbanding RM25.29 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai melonjak lebih sepuluh kali ganda kepada RM41.38 juta berbanding RM3.04 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Hai Hin menerangkan, cabang penjagaan kesihatan Hong Seng, HS Bio Group dalam perancangan untuk disenaraikan dalam masa terdekat agar dapat memberi ganjaran yang seterusnya kepada pemegang saham.
HS Bio terbabit secara aktif dalam menguruskan keseluruhan rantaian bekalan hujung ke hujung bagi proses ujian Covid-19 yang dikenali sebagai HealthChain.
Mengenai segmen pembuatan sarung tangan, anak syarikat milik penuh Kumpulan, Hong Seng Gloves Sdn. Bhd. (HS Gloves) telah memulakan operasi barisan pengeluaran berganda celupan sarung tangan Nitrile Butadiene Rubber (NBR) di Sungai Petani, Kedah sejak Oktober 2021 daripada hanya dua barisan pada mulanya dan akhirnya sudah meningkat kepada empat barisan setakat ini.
Tambah beliau, HS Gloves menjangka dapat memulakan pengeluaran barisan kelima dan keenamnya menjelang Mac 2022 sementara menunggu penambahan bekalan kuasa selesai.
“Kumpulan merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran sehingga 16 barisan pengeluaran menjelang akhir 2022,”ujarnya. KOSMO!ONLINE