PETALING JAYA – Sebanyak 11 cadangan yang diusulkan oleh pakar mengenai isu beg sekolah berat yang semakin menjadi bualan hangat dalam kalangan ibu bapa.
Menurut pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, isu beg sekolah berat telah berlanjutan sejak tahun 1980-an lagi dan sehingga kini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Berbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh ibu bapa untuk perhatian pihak Kementerian Pendidikan (KPM).
“Sewajarnya cadangan yang baik untuk kesejahteraan murid-murid diberikan perhatian oleh KPM dan disusuli dengan tindakan penyelesaian dengan kadar yang segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, satu pekeliling KPM telah dikeluarkan pada tahun 2018 untuk panduan dan tindakan pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid bagi menangani isu beg sekolah berat ini.
“Namun, saranan tersebut gagal dilaksanakan sepenuhnya sehingga menyebabkan kemelut beg sekolah berat masih berterusan sehingga kini,” ujarnya.
Bagi tujuan penyelesaian, beliau telah mengemukakan beberapa cadangan bagi tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang dengan mengambil kira semua pandangan yang diberikan oleh masyarakat.
“Ia temasuklah pandangan dari pihak guru-guru dan ibu bapa,” jelasnya.
Tambah Anuar, enam solusi jangka pendek yang perlu dilihat dalam mengatasi isu berkenaan adalah penyediaan rak, almari atau bekas penyimpanan buku di setiap kelas bagi murid tahun satu hingga tiga terutamanya.
Selain itu, semua murid tahun satu wajib ditempatkan di kelas aras tanah bangunan sekolah demi keselamatan serta menghadkan penggunaan buku modul, buku kerja dan buku latihan.
“Amalkan satu mata pelajaran satu buku latihan sahaja.
“Tegaskan pada ibu bapa untuk pastikan buku yang dibawa oleh anak-anak mereka ke sekolah mengikut jadual waktu harian,” kongsinya.
Katanya lagi, setiap guru perlu memaklumkan pada murid khususnya di sekolah rendah mengenai pilihan buku yang perlu dibawa untuk kelas akan datang dan pihak pengurusan juga mestilah diberikan kuasa oleh KPM untuk menentukan keperluan buku teks yang utama.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan lima langkah lain bagi mengatasi isu beg sekolah yang berat dalam kalangan pelajar sekolah rendah bagi tempoh jangka sederhana dan panjang termasuklah penggunaan kaedah buku teks secara digital.
“Amalkan e-book teks sepenuhnya secara dalam talian atau luar talian serta kukuhkan pembelajaran sekolah rendah berteraskan aktiviti yang dirancangkan sepenuhnya oleh guru.
“Oleh kerana tidak ada peperiksaan berpusat seperti UPSR, guru tidak lagi terikat dengan skema dan isi kandungan buku teks sahaja,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE