Saudara pengarang,
Saya merupakan salah seorang pengguna Lebuh Raya Persekutuan. Hampir setiap hari saya menggunakan lebuh raya tersebut untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja di ibu negara.
Apa yang membimbangkan saya adalah tindakan segelintir penunggang motosikal yang tidak menggunakan laluan khas, sebaliknya menggunakan laluan kereta dan kenderaan berat.
Saya terpanggil untuk berkongsi perkara ini selepas menonton video tular kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal yang dilanggar kereta selepas terjatuh di atas Lebuh Raya Persekutuan di Shah Alam baru-baru ini.
Ketika kejadian, penunggang motosikal itu tidak menggunakan laluan khas untuk kenderaan tersebut. Benar, malang tidak berbau, namun ia boleh elakkan.
Pada pengamatan saya, ada yang menunggang secara laju dan melulu. Tindakan itu sudah pasti mengundang bahaya bukan sahaja kepada penunggang dan pembonceng itu sendiri tetapi ‘gerun’ kepada pemandu kenderaan lain.
Perkara ini berlaku setiap hari tidak kira siang atau malam.
Saya tidak pasti mengapa mereka sanggup menggadai nyawa. Jika dikatakan laluan itu tidak diselenggara atau tidak selamat, masih ada penunggang motosikal yang menggunakannya.
Pucuk pangkalnya adalah sikap.
Jangan mengharapkan pihak berkuasa sahaja dalam aspek penguatkuasaan undang-undang sebaliknya diri sendiri juga perlu berubah. Patuhilah peraturan jalan raya dan jadikan kes-kes kemalangan sebagai iktibar.
Pemandu berhemah
Shah Alam