POPUARITI mendunia yang diraih menerusi siri fenomena Squid Game ternyata membawa tuah besar dalam hidup dan karier aktor Lee Jung-jae.
Baru-baru ini, dia dilaporkan menandatangani kontrak bersama agensi dari Amerika Syarikat (AS) iaitu CAA (Creative Artists Agency).
CAA merupakan sebuah agensi bakat dan sukan terbesar di AS yang menaungi ramai nama popular seperti Brad Pitt, Tom Hanks, Meryl Streep, George Clooney dan Steven Spielberg.
“Dia bukan sekadar akan aktif selaku pelakon bahkan sebagai penerbit dan pengarah,” ujar agensi Jung-jae di Korea Selatan, Artist Company.
Kedudukan Jung-jae selaku pelakon kelas A di Korea Selatan semakin kukuh selepas berjaya membolosi senarai calon dalam kategori Persembahan Terbaik Aktor Lelaki pada Anugerah Screen Actors Guild (SAG) tahun lepas.
Dia juga tercalon sebagai Pelakon Terbaik dalam Golden Globes 2022, Critics’ Choice Awards dan Gotham Awards 2021.