KULAI – Kerajaan negeri sentiasa menegaskan kerajaan Persekutuan untuk bersiap sedia melangkah ke fasa endemik secepat mungkin bagi membolehkan usaha pembukaan sempadan Malaysia-Singapura diperluaskan.
Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, perkara itu mengambil kira faktor jumlah peratusan individu yang mendapatkan dos penggalak semakin meningkat ketika ini.
Melihatkan perkembangan positif itu, Hasni berkata, kerajaan perlu meningkatkan kuota pengembara antara kedua-dua negara melalui inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat ditambah.
“Saya mendapat petunjuk daripada kerajaan Persekutuan bahawa bilangan jumlah pengembara yang menggunakan VTL darat sedang dikaji dari semasa ke semasa.
“Ia adalah usaha berterusan secara bersama antara kerajaan Pusat dengan kerajaan Singapura bagi menambah bilangan pengembara menggunakan inisiatif tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Johor 2022 di Hotel Impiana Senai, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE