fbpx

KKM gugurkan keperluan untuk pengembara VTL, LITB, OSC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG petugas menampal pelekat VTL MY-SG sebagai persiapan menerima kedatangan pengembara dari Singapura dengan menggunakan VTL di Larkin Sentral, Johor Bahru baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menggugurkan lima keperluan termasuk ujian saringan untuk hari-hari berikutnya kepada pengambara yang memasuki Malaysia melalui Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan One Stop Centre (OSC) bagi pelawat perniagaan jangka pendek berkuat kuasa 3 Mac ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, berdasarkan penilaian risiko situasi Covid-19 yang dilakukan, kementerian itu memutuskan untuk menggugurkan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) pada hari kedua, keempat dan kelima selepas ketibaan bagi pengembara kategori VTL hingga OSC.

“Keperluan menjalani ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan bagi pengembara kategori VTL hingga OSC juga kini digugurkan.

“Selain itu, tiada lagi keperluan menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag (Profesional) bagi pengembara LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi dan menggugurkan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) pada setiap hari sepanjang tempoh kuarantin wajib bagi pengembara umum yang tiba dari United Kingdom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keperluan Pegawai Pengiring atau Liaison Officer (LO) bagi pelawat perniagaan jangka pendek di bawah MIDA yang menggunakan kemudahan OSC untuk memasuki Malaysia juga turut digugurkan.

Katanya, bagaimanapun mereka masih perlu mengikuti jadual program terkawal (controlled itinerary) yang telah dikemukakan dan diluluskan oleh Jawatankuasa OSC.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin menegaskan, ujian pengesanan Covid-19 yang perlu dijalani dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan di negara ini masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.

“Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa prosedur baharu ini hanya terpakai ke atas pengembara yang memasuki Malaysia melalui program VTL, LITB dan OSC sahaja.

“Bagi pengembara-pengembara yang bukan memasuki Malaysia melalui tiga program yang dinyatakan, prosedur atau protokol sedia ada masih terpakai,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, KKM ingin menegaskan semua pengembara yang terlibat supaya bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Prosedur pengurusan pengembara yang tiba dari luar negara akan disemak dari semasa ke semasa,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI