PETALING JAYA – Pengeluar upholsteri kulit automotif, Pecca Group Berhad (Pecca) melaporkan pendapatan suku tahunan tertinggi bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2021 (S222).
Pengarah Urusannya, Datuk Teoh Hwa Cheng berkata, peningkatan itu didorong oleh jualan yang lebih kukuh daripada segmen automotif yang mana pelanggannya termasuk Proton, Perodua, Nissan, Toyota, Peugeot dan Volkswagen.
Menurut beliau, Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM45.2 juta pada 2Q22, mewakili peningkatan sebanyak 15 peratus tahun ke tahun berbanding RM39.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
“Pencapaian memberangsangkan itu diraih apabila hampir semua pasaran seperti dari Eropah, Oceania dan Amerika Utara mencatatkan pertumbuhan hasil yang menggalakkan,” katanya dalam kenyataan.
Hwa Cheng menerangkan, pendapatan yang dijana daripada perniagaan penjagaan kesihatan secara relatifnya konsisten pada RM4.81 juta berbanding RM4.84 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Perolehan segmen penerbangan pula meningkat sebanyak 24.8 peratus tahun ke tahun kepada RM151,000 berbanding RM121,000 setahun sebelumnya.
Pecca melaporkan keuntungan bersih RM6.0 juta pada 2Q22 berbanding RM6.05 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Penyusutan sedikit keuntungan bersih sebanyak 0.82 peratus ekoran peningkatan dalam kos logistik dan penghantaran untuk segmen automotif. KOSMO! ONLINE