fbpx

Gadis Kampus: Kamilia kongsi kegembiraan di Youtube

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMILIA suka berkongsi kegembiraan dengan orang ramai menerusi saluran YouTubenya sejak beberapa tahun lalu.

GAYA yang ceria dan bersahaja ketika berkongsi kisah kehidupan harian di saluran YouTube miliknya, Kamilia Irwan percaya, ia pasti membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya terhibur.

Gadis berusia 21 tahun itu sekarang adalah pelajar di sebuah universiti swasta yang berpangkalan di Kuala Lumpur iaitu International University of Malaya-Wales (IUMW).

Beliau kini mengikuti program berkembar dalam bidang Bachelor of Science in Psychology di University of Wales, United Kingdom.

Bukan sekadar menonjolkan vlog aktiviti harian semata-mata, gadis itu turut berkongsi kemahirannya bermain piano.

“Saya berada dalam komuniti YouTube sejak 2015, tetapi disebabkan sibuk dengan aktiviti persekolahan dan sebagainya, saya memulakan semula Saluran YouTube Kamilia Irwan pada 2020.

“Menerusi platform itu, saya hasilkan kandungan seperti vlog, tutorial piano dan cover lagu-lagu artis, selain menyerlahkan bakat dalam penulisan lirik.

“Memandangkan sekarang saya berada di Wales, saya banyak membuat vlog untuk berkongsi pengalaman sepanjang berada di negara orang,” katanya membuka bicara.

Hampir tujuh tahun melibatkan diri dengan dunia YouTube, gadis kelahiran Shah Alam, Selangor itu mengakui banyak mesej positif yang diterima daripada pengikut di salurannya itu.

Lantaran itu, dia berhasrat untuk mengembangkan lagi komuniti YouTubenya kerana percaya, kandungan yang dimuat naik mampu membuatkan ramai yang tersenyum dan terhibur.

Biarpun sibuk dengan pelbagai aktiviti harian termasuk di kampus, namun gadis ini tetap tidak mengabaikan pelajaran apabila mempunyai tahap pencapaian akademik yang begitu membanggakan.

Mahir dalam mengendalikan instrumen piano sejak berusia tujuh tahun, Kamilia mampu menjana pendapatan sendiri apabila pernah menjadi guru piano di salah sebuah kelas muzik di Shah Alam.

Bukan itu sahaja, beliau juga pernah mendapat tawaran untuk menjadi seorang komposer di bawah sebuah syarikat rakaman sebelum ini.

Bagaimanapun, tawaran itu terpaksa ditolak kerana mahu menyambung pengajian di menara gading.

Meminati jurusan psikologi, menurut anak bongsu daripada dua orang adik- beradik ini, beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang tersebut memandangkan ia sangat penting dalam dunia hari ini.

“Kesihatan mental adalah yang paling utama pada ketika ini, lebih-lebih lagi di era pandemik.

“Mengikut statistik dan kajian, ramai yang akan memerlukan khidmat atau bantuan dari segi kaunseling serta terapi pada masa akan datang untuk merawat keadaan mental mereka.

“Secara tidak langsung, ia bakal membuka peluang pekerjaan yang besar kepada graduan-graduan yang mengambil jurusan berkenaan,” katanya.

KAMILIA melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi untuk membantu mereka yang mengalami stres dan kemurungan dalam hidup.

Berkongsi pengalaman sendiri, Kamilia akui sedih apabila melihat rakan-rakan sendiri yang terpaksa melalui fasa hidup sukar berperang dengan masalah kemurungan, stres, anxiety dan sebagainya.

Dari situ jugalah, Kamilia menanam hasrat untuk membantu individu yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental.

Meminati bidang psikologi sejak di bangku sekolah lagi, Kamilia pernah diberi peluang untuk membentangkan kajian ilmiah sewaktu di tingkatan lima bersama seorang rakannya pada Persidangan Kaunseling Psikologi ASEAN.

Begitupun, bagi membolehkan beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan yang diimpikan ternyata bukan satu perkara yang mudah.

Kongsi gadis ini, dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sebelum berjaya menempatkan diri dalam jurusan berkenaan.

Datang daripada keluarga yang sederhana, sudah tentu Kamilia berhasrat untuk meneruskan pendidikan di universiti awam negara yang menawarkan jurusan psikologi.

Pun begitu, hanya tiga universiti awam di negara ini yang menawarkan jurusan tersebut dan dua daripadanya tidak menerima pelajar daripada jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

“Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil (Pusat Asasi) dalam Asasi TESL.

“Disebabkan hasrat saya tetap ingin menyambung pelajaran dalam bidang psikologi, saya terpaksa bekerja lebih keras untuk membiayai kos pembelajaran di IUMW sehingga merantau ke Wales untuk menuntut ilmu.

“Alhamdulillah, saya sekarang berada di tahun kedua dalam jurusan tersebut dan akan menamatkan pengajian pada tahun depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI