BARCELONA – Prinsipal Haas, Guenther Steiner mengesahkan pelumba Amerika Syarikat (AS), Pietro Fittipaldi berada dalam senarai menunggu dan bersedia untuk menggantikan Nikita Mazepin jika rombakan perlu dilakukan pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Sebagai rekod, pasukan Haas sudah mengesahkan Mazepin dan Mick Schumacher kekal diberikan peranan selaku pelumba utama pasukan musim ini.
Namun, status Mazepin yang juga pelumba kelahiran Rusia menjadi tanda tanya susulan tindakan agresif negaranya menyerang Ukraine ketika ini.
Malah, Haas juga sudah membatalkan kontrak penajaan dengan syarikat Rusia, Uralkali yang dimiliki oleh bapa Nikita, Dmitry Mazepin.
“Jika Mazepin tidak boleh berlumba atau berada dalam skuad kami musim ini, sudah tentu posisi tersebut akan diberikan kepada Fittipaldi. Dia sudah menyertai pasukan sejak 2018 dan mengenali jentera kami cukup baik.
“Meskipun hanya baru membuat dua kemunculan dalam saingan F1, kami tetap menghargai bakat yang ada pada Fittipaldi dan disebabkan itu posisi selaku pelumba simpanan ketika ini menjadi miliknya.
“Buat masa ini, tiada lagi pelumba yang lebih layak daripada Fittipaldi ketika ini,” katanya. – AGENSI