PETALING JAYA – Fenomena salji turun di Gunung Kinabalu pagi tadi menjadi topik bualan dalam kalangan pengguna media sosial apabila rata-ratanya teruja melihat kejadian itu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu perkongsian video di Twitter memaklumkan kejadian salji di kawasan pergunungan tersebut bukan perkara yang mustahil berlaku.
“Ia bukan satu perkara mustahil berlaku bagi tanah tinggi seperti di Gunung Kinabalu.
“Ini disebabkan apabila suhu udara mencecah 0 darjah Celsius atau dibawah dari takat suhu tersebut,” katanya.
Jelas beliau, salji boleh terbentuk dengan syarat apabila terdapat kelembapan yang mencukupi dan suhu persekitaran sejuk.
Terbaharu, tular di media sosial beberapa rakaman memaparkan kejadian salji yang berlaku di Gunung Kinabalu hasil perkongsian para pendaki di sana. – KOSMO! ONLINE