BRUSSELS – Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengumumkan kelmarin bahawa Brussels akan mengusulkan pembekuan aset bank pusat Rusia, dalam peningkatan sekatan terhadap Moscow berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Von der Leyen juga berkata, Kesatuan Eropah (EU) akan menyekat bank Rusia ‘tertentu’ daripada sistem pembayaran SWIFT, sebagai tindak balas kepada permintaan Kiev untuk menghukum Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Langkah baharu ini akan melumpuhkan keupayaan Putin untuk membiayai jentera perangnya,” kata Von der Leyen.
Beliau bercakap selepas sidang video bersama pemimpin Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Itali dan Kanada yang bertujuan untuk menyelaraskan tindak balas Barat terhadap pencerobohan itu.
Barat juga bersetuju untuk sekatan selanjutnya ke atas oligarki (golongan elit) Rusia, termasuk langkah ‘mengehadkan penjualan kewarganegaraan’ yang dipanggil pasport emas. Inisiatif itu membolehkan golongan kaya Rusia dengan kebanyakan mereka mempunyai hubungan dengan Moscow, menetap di Barat.
Von der Leyen berkata, beliau akan membuat usul tersebut kepada pemimpin-pemimpin EU yang mana mereka boleh meminta pindaan untuk meminimumkan kesan sekatan tersebut terhadap ekonomi masing-masing.
Gelombang sekatan baharu itu adalah peningkatan luar biasa dalam masa beberapa hari selepas Jerman menarik balik bantahan Berlin berkenaan usul menyekat Rusia daripada SWIFT.
Sistem pemesejan SWIFT membolehkan bank berkomunikasi dengan pantas dan selamat dalam melakukan transaksi. Sekatan tersebut akan menyekat urusniaga perdagangan Rusia dengan kebanyakan negara di dunia.
Langkah terbaharu itu mungkin yang paling tidak dijangka terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Barat juga bersetuju mengehadkan keupayaan bank pusat Rusia untuk mengakses rizab asingnya yang besar.
Bank tersebut mempunyai aset luar negara melebihi AS$600 bilion (RM2.5 trilion) hasil perdagangan komoditi tenaga Rusia. – AFP