PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mengumumkan Keuntungan Sebelum Cukai dan Zakat Kumpulan (PBZT) sebanyak RM704.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021), susut 3.3 peratus tahun ke tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, penurunan PBZT disebabkan oleh pendapatan bukan berasaskan dana lebih rendah dan perbelanjaan operasi lebih tinggi.
“Pendapatan bukan berasaskan dana menurun RM175.5 juta bagi TK2021, sebahagian besar disebabkan oleh pendapatan pelaburan lebih rendah, khususnya laba bersih lebih rendah daripada penjualan kertas pelaburan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Muazzam menerangkan, pengurangan tersebut telah diimbangi oleh kerugian modifikasi lebih rendah berikutan penyediaan moratorium pembiayaan kepada pelanggan.
Kumpulan mengiktiraf kerugian modifikasi sebanyak RM48.9 juta bagi tempoh dalam tinjauan berbanding RM136.4 juta pada tahun sebelumnya.
Tambah beliau, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (4Q2021), BIMB mencatatkan PBZT sebanyak RM76.4 juta, lebih rendah berbanding 4Q2020 (RM201.9 juta) yang mana sebahagian besarnya disebabkan unjuran pembiayaan terjejas dan pendahuluan lebih tinggi pada suku tersebut.
Sehingga 31 Disember 2021, Nisbah Jumlah Modal Kumpulan kekal kukuh pada 18.6 peratus, seterusnya menyediakan penimbal yang mencukupi untuk menyerap kerugian dan menyokong pertumbuhan perniagaan.
Selain itu, beliau menerangkan, jumlah aset Kumpulan meningkat sebanyak 7.4 peratus tahun ke tahun untuk berada pada RM80.2 bilion pada akhir 31 Disember 2021, manakala aset bersih sesaham berada pada RM3.08.
Pembiayaan kasar meningkat sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun kepada RM59.2 bilion, sementara deposit pelanggan dan akaun pelaburan berada pada RM67.8 bilion dengan peningkatan sebanyak RM4.3 bilion atau 6.8 peratus.
Tambah beliau, jumlah komposisi akaun semasa, simpanan dan akaun pelaburan transaksional berada pada aras sihat 39.6 peratus daripada jumlah pelanggan deposit dan akaun pelaburan. KOSMO! ONLINE