KEINGINAN untuk memiliki item atau barangan idaman membuatkan sesiapa sahaja sanggup mengikat perut dan berhutang asalkan kehendak sendiri dapat dituruti.
Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, aplikasi beli-belah ketika ini juga menawarkan kaedah beli dulu, bayar kemudian (buy first pay later) dengan tawaran sifar faedah.
Jika dilihat dari sudut positif, sistem tersebut membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki sesuatu barangan dengan kadar segera dan mudah, tetapi sekiranya diteliti dari sudut lain pula ia seolah-olah menggalakkan lebih ramai orang berhutang.
Kajian Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) menerusi Financial Behaviour Survey 2018 (AFBeS’18) mendapati tahap kesedaran kewangan orang dewasa yang bekerja di Malaysia masih rendah.
Hasil kaji selidik itu juga mendapati kadar keberhutangan yang tinggi dan tiga daripada 10 rakyat Malaysia yang bekerja terpaksa meminjam untuk membeli keperluan asas.
Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, antara faktor yang menyebabkan kegagalan menguruskan kewangan dengan baik ialah tidak berdisiplin atau membeli tanpa mengikut perancangan.
“Membuat perancangan dan diikuti dengan disiplin merupakan perkara penting yang berkait rapat antara satu sama lain atau dalam erti kata lain formula untuk berjaya dalam apa jua perkara.
“Ia termasuklah membuat pengurusan kewangan kerana tanpa perancangan dan disiplin akan menyebabkan seseorang itu gagal menguruskan kewangannya sehingga liabiliti meningkat berbanding aset. Liabiliti adalah tanggungan seseorang,” katanya.
Menurut beliau, matlamat perlu jelas dalam pengurusan kewangan agar ia menjadi panduan kepada seseorang untuk membeli aset berbanding menanggung liabiliti. Jika perkara tersebut diabaikan maka, kita lebih cenderung menambah hutang baharu.
Nuradli Ridzwan Shah menjelaskan, sepatutnya ketika bersara kelak, seseorang dapat menjalani hidup dengan selesa kerana membuat pilihan tepat dengan pembelian aset, tetapi ada yang tersilap langkah dan terpaksa menanggung hutang yang banyak selepas bersara selain tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.
Sementara itu, Profesor Tadbir Urus dan Pelaporan Korporat, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Norman Mohd. Saleh berkata, tidak salah untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri tetapi hendaklah secara berhemah.
“Sebelum memberi ganjaran kepada diri, pastikan anda mendahulukan tanggungjawab dan komitmen bulanan seperti membayar bil, pinjaman kereta, rumah dan mengasingkan sebahagian duit gaji itu untuk simpanan.
“Duit gaji itu juga hendaklah diperuntukkan untuk mengembangkan aset dan simpanan bagi pendidikan masa hadapan anak-anak,” ujarnya.
Jelas beliau, walaupun bergaji besar, tetapi ganjaran kepada diri perlu dilakukan secara bersyarat iaitu haruslah mendahului komitmen bulanan.
Beliau turut berpesan kepada masyarakat agar tidak memberi ganjaran kepada diri terlalu kerap sampai ke tahap kita merasakan ganjaran tersebut sesuatu yang biasa dan mencari ganjaran lebih besar.