PASIR MAS – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijangka bermula pada Rabu ini tetap diteruskan meskipun Kelantan sedang berdepan dengan musibah banjir ketika ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bagi memastikan peperiksaan itu berjalan lancar, pihaknya tidak menggunakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir setakat ini.
Menurutnya, keadaan itu memudahkan SMK yang tidak terjejas banjir dijadikan sebagai pusat peperiksaan SPM.
Ujarnya, bagaimanapun, kerajaan negeri akan membuat perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan lanjut sekiranya berlaku kejadian kecemasan selepas ini.
“Kita melihat perkara ini daripada pelbagai aspek, ditambah pula di musim Covid-19 yang perlu menitik beratkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Saya berharap semua calon-calon SPM dapat bertenang dan fokus untuk menduduki peperiksaan tersebut. Diharapkan mereka tidak mudah patah semangat dengan ujian yang sedang menimpa ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Lati di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, Ahmad turut menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa yang berada di PPS tersebut. – KOSMO! ONLINE