fbpx

Banjir di Terengganu, Kelantan dijangka berlarutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan pekan Kuala Berang yang terjejas banjir baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bencana banjir yang berlaku di Kelantan dan Terengganu sejak minggu lalu dijangka berlarutan bagi beberapa hari lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, air banjir yang melimpah memerlukan tempoh untuk surut atau mengalir ke hilir sungai dan seterusnya ke laut.

“Faktor banjir ketika ini adalah berpunca daripada luruan monsun berserta sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan menyebabkan hujan berterusan di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

“Walaupun hujan berterusan telah berhenti, tetapi keadaan banjir dijangka berlarutan untuk beberapa hari lagi kerana mengambil masa untuk surut,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Jelas Muhammad Helmi, perkara ini bukanlah suatu yang luar biasa tetapi sangat jarang berlaku kerana kebiasannya cuaca lebih kering di penghujung monsun timur laut.

“Namun demikian, selagi negara masih berada di Monsun Timur Laut, perkara seperti ini sentiasa berpotensi untuk berlaku.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat banjir dengan melayari laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran,” ujarnya.

Sementara itu, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih 21,000 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu direkodkan setakat pukul 4 tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI