fbpx

Banjir: Balai bomba pun tenggelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang yang dinaiki air banjir. - Foto IHSAN BOMBA

KOTA BHARU – Operasi menyelamat mangsa banjir bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan (JBPM) Kelantan kali ini lebih mencabar apabila Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang turut ditenggelami air.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, banjir luar jangkaan yang berlaku itu dilihat luar biasa apabila ia bermula dengan hujan lebat sejak Khamis lalu sehingga menenggelamkan balai bomba tersebut.

Menurutnya, keadaan balai bomba itu yang berada berhampiran kawasan sungai menyebabkan risiko balai itu mudah digenangi banjir.

“Cabaran ini memang cukup berat, namun anggota dan pegawai masih bersemangat menjalankan tanggungjawab bagi menyelamatkan mangsa banjir.

“Hujan lebat turut menyebabkan jalan yang menghubungkan laluan Pasir Mas ke Rantau Panjang terputus lebih 800 meter turut sehingga menyukarkan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Zainal berkata, sepanjang operasi banjir sehingga semalam, sebanyak 12 unit lori, jentera bomba (26 unit), unit lori kontena (4 unit), jaket keselamatan (1,252 unit), bot (43 buah) dan kenderaan pacuan empat roda (33 buah) telah disediakan.

“Bagi anggota penyelamat, kita telah mengerakkan 570 anggota dan pegawai termasuk 208 Pasukan Bomba Sukerala,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI