PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Aishah sekali lagi disahkan dijangkiti dan disahkan positif Covid-19.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin menerusi perkongsian video dalam Instagramnya malam tadi.
“Assalamualaikum semua. Ini baru betul-betul ketentuan takdir. Hari itu, selepas menerima suntikan dos penggalak, saya diminta Presiden Aishah FC, Dr. Nazlin buat ujian saringan.
“Hari pertama keadaan saya baik-baik sahaja. Namun, selepas membuat ujian menerusi kit ujian kendiri, saya didapati positif Covid-19 untuk kali kedua.
“Saya juga buat ujian itu untuk kali kedua dan keputusannya tetap sama. Rasa sakit teramat dan saya betul-betul tidak larat. Simptom yang saya alami ini sama seperti simptom klasik yang pernah saya baca sebelum ini.
“Masa mula-mula kena, saya tidak ada batuk atau hidung berair. Tetapi kali ini, keadaannya sangat teruk,” luahnya menerusi video berdurasi dua minit 51 saat itu.
Dalam video sama, penyanyi yang cukup popular menerusi lagu hit Janji Manismu itu turut meminta kepada semua pihak yang pernah bertemu atau bekerja dengannya sebelum ini agar menjalani ujian saringan.
“Kepada semua kru produksi yang terbabit dalam penggambaran muzik video lagu baru saya, Ketentuan Takdir dan petugas di pusat pemberian dos penggalak, saya harap anda semua dapat membuat pemeriksaan kerana menjadi kontak rapat saya,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran berbeza, penyanyi bervokal nyaring berusia 57 tahun itu sempat bergurau dengan pengikut biarpun dalam keadaan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan.
“Covid-19 ini peminat lagu Janji Manismu agaknya sebab asyik nak ikut saya sahaja. Tidak mengapalah, Allah nak suruh saya berehat. Dapatlah saya berehat untuk beberapa hari.
“Jaga diri dan saya harap anda semua dapat doakan saya dan mereka yang sedang bertarung dengan virus ini,” ujarnya lagi.
Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan selebriti turut mendoakan agar Aishah terus kuat, tabah dan segera sembuh seperti sedia kala.
Terdahulu, akhir Ogos tahun lalu, Aishah dikejarkan ke Hospital Ampang selepas paras oksigen turun mendadak akibat jangkitan virus maut tersebut.
Tidak setakat itu, mental dan emosinya juga terjejas apabila mendedahkan paru-parunya rosak hampir 20 peratus selepas dibenarkan keluar wad pada 10 September lalu. – KOSMO! ONLINE