BESUT – Hampir 400 pelancong yang terkandas di Pulau Perhentian di sini sejak enam hari lalu boleh menghela nafas lega apabila boleh pulang ke daratan pada hari ini.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, Jabatan Laut memberikan perkhidmatan bot yang membawa mereka pulang ke Jeti Kuala Besut di sini beroperasi semula ekoran cuaca yang semakin baik.
“Sebelum ini pelancong terbabit termasuk 18 kanak-kanak terkandas di pulau peranginan ini ekoran laut bergelora dan ombak kuat yang tidak selamat untuk sebarang aktiviti air.
“Mereka yang kebanyakan berasal dari Lembah Klang dan Pahang selain penduduk tempatan (Terengganu) rata-ratanya lega dan bersyukur dapat pulang ke rumah masing-masing setelah agak lama terkandas,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, beliau dan beberapa pengusaha lain telah menyediakan 15 bot untuk membawa pulang kesemua pelancong itu ke Jeti Kuala Besut yang memakan masa kira-kira 45 minit setiap perjalanan.
Kosmo! hari ini melaporkan cuaca buruk sejak Jumaat lalu menyebabkan kira-kira 400 pelancong terkandas di Pulau Perhentian dan terpaksa terus menginap di 19 hotel dan resort yang terdapat di pulau peranginan terkenal itu.
Sebahagian pengusaha mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti sampingan di daratan bagi menghilangkan kebosanan pengunjung terlibat. – KOSMO! ONLINE