SABAK BERNAM – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan lebih 30 minit apabila jari telunjuk kanannya tersepit pada tombol pintu, semalam.
Mangsa yang berusia lapan tahun itu dibawa bapanya ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar di sini, pukul 6.11 petang bagi mendapatkan bantuan lanjut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, usaha mengeluarkan jari kanak-kanak berkenaan yang dilakukan di rumah keluarganya sebelum itu tidak berhasil.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati jari telunjuk mangsa masih tersepit pada tombol tersebut.
“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi memotong tombol itu dan mengeluarkan jari kanak-kanak berkenaan.
“Operasi yang mengambil masa 29 minit itu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak berlaku kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Norazam, jari kanak-kanak itu didapati tidak mengalami luka serius dan hanya kesan bengkak akibat tersepit.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya bagi mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE