IPOH – Bekas penjaga gol Pahang dan kebangsaan, Zuraimi Hassan dilantik sebagai jurulatih kepada penjaga gol Perak FC bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Muhammad Yunus Zakaria, semalam.
Zuraimi, 45, mempunyai pengalaman luas kerana pernah mengendalikan barisan penjaga gol The Red Warriors (TRW) dan juga bekas jurulatih FELDA United .
Zuraimi menggantikan jurulatih musim lalu, Mohd Faozi Mukhlas berikutan penstrukturan pasukan itu oleh pemiliknya, Impact Media and Communication (IMC) Sdn. Bhd.
Pengambilan Zuraimi diharap mampu menyediakan penjaga gol yang mampu bersaing dengan pasukan lain terutama kerana Perak FC membariskan penjaga gol muda selepas pemergian Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy ke Penang FC, musim ini.
Perak FC menyandarkan harapan kepada empat penjaga gol muda iaitu, Mohammad Nasrullah, Syazwan Syazany, Farhan Majid dan Yuganes Ganessan.
The Bos Gaurus yang mengambil khidmat barisan kejurulatihan baharu untuk musim ini melantik Chan Wing Hoong selaku ketua penolong jurulatih menggantikan Mohd. Shahril Nizam Khalil, manakala Zahid Hashim adalah penolong jurulatih baharu menggantikan Shahrulnizam Mustapha.
Kedua-dua jurulatih itu kini ditempatkan bersama pasukan Piala Presiden Perak. -KOSMO! ONLINE