LIVERPOOL – Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson mengakui kejayaan menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) akan membuka peluang buat pasukan itu mengecapi lebih banyak kejayaan musim ini.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih kekal bersaing dalam perebutan empat kejuaraan musim ini dan trofi pertama menanti mereka pada pertemuan final EFL menentang Chelsea di Wembley tengah malam ini.
Selepas berjaya membantu Liverpool menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas 30 tahun, trofi Liga Juara-Juara dan Piala Kelab Dunia, Henderson percaya EFL sangat penting untuk memastikan pasukannya berada pada momentum terbaik.
“Ini adalah momen penting buat kami musim ini. Jika berjaya meraih trofi pertama pada musim ini, ia akan memberikan momentum dan semangat luar biasa untuk para pemain dalam beberapa kejohanan lagi yang kami masih sertai.
“Perlawanan akhir sentiasa menjadi suatu yang istimewa. Jadi, sudah pasti kami akan melakukan apa sahaja untuk membawa trofi ini pulang ke Anfield.
“Kami mahu ia menjadi pembakar semangat untuk aksi-aksi seterusnya. Masih banyak perlawanan besar yang kami perlu sertai dan kami perlu berhati-hati menghadapinya satu persatu.
“Seperti biasa kami akan melakukan apa yang biasa kami lakukan. Kemudian anda akan lihat di mana kami berada pada hujung musim nanti,” katanya.
Dalam pada itu, pembantu pengurus The Reds, Pep Lijnders mengesahkan bahawa pasukan itu bakal turun tanpa kelibat Roberto Firmino pada aksi final berkenaan, namun Diogo Jota masih memiliki peluang sekiranya disahkan pulih daripada kecederaan buku lali. – AGENSI