fbpx

Terkedu ditenung hantu di bilik air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MURNI terkejut apabila ternampak kelibat makhluk hitam dan besar merenung ke arahnya di dalam bilik air hotel. – ILUSTRASI SHAH HASAN

BERCUTI di kawasan tanah tinggi bercuaca sejuk sememangnya menjadi impian setiap orang yang sudah lama tidak keluar disebabkan sibuk bekerja.

Itulah yang dialami sekumpulan gadis yang bercuti di satu kawasan tanah tinggi yang mengimpikan satu pengalaman menyeronokkan dan berharga, namun berlaku sebaliknya.

Mereka sebaliknya mendapat igauan ngeri selepas diganggu makhluk bertubuh besar dan hitam di dalam bilik hotel penginapan.
————————————————————————————————————————————————————–
MEREMANG bulu roma Murni, 37, apabila mengenang kembali peristiwa yang dialaminya pada penghujung tahun 2020.

Murni mendakwa, dia dan rakan-rakan mendapat gangguan aneh sewaktu bermalam di sebuah hotel di sebuah kawasan tanah tinggi, pastinya menjadi satu kenangan pahit yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Bercerita kepada K2, menurut seorang pemilik perniagaan dalam talian ini, sewaktu kebenaran rentas negeri diberikan, dia dan dua rakannya begitu teruja untuk bercuti.

Hampir setahun berkurung di rumah, dia memilih lokasi tersebut sebagai tempat percutian terutamanya selepas terliur melihat video-video keindahan alam semula jadi yang dimuat naik oleh orang ramai. Cuacanya juga tidak ubah seperti berada di negara Barat.

Penginapan sepanjang tiga hari dua malam telah ditempah seminggu sebelum mereka berangkat.

Hari dijanjikan tiba, Murni dan rakan-rakan tiba di hotel penginapan yang telah ditempah pada waktu ditetapkan.

“Pertama kali tiba di hotel itu sahaja hati saya sudah mula tidak sedap. Gambar dan fizikal sebenar hotel tersebut jauh panggang daripada api.

“Entah mengapa saya, dapat rasakan aura yang kurang enak. Bulu roma pula sentiasa meremang dan keadaan tersebut turut dirasakan oleh rakan-rakan lain.

“Tetapi kami positif dan menganggap ia hanyalah disebabkan perubahan cuaca daripada panas kepada sejuk,” ceritanya.

Hanya mempunyai dua orang pekerja, Murni menggambarkan suasana hotel tersebut seperti sebuah hotel tinggal. Bukan sahaja berdebu, sawang-sawang juga banyak dilihat di merata kawasan terutamanya di bahagian siling.

“Situasi aneh mula berlaku ketika hari menginjak malam. Ketika menunaikan solat Maghrib, saya dengar hilaian ketawa kegembiraan penghuni bilik yang lain.

“Walaupun pelik kerana mereka seolah-olah ketawa tidak henti-henti, tetapi kami beranggapan mereka berkemungkinan sedang seronok menikmati percutian,” kongsinya.

HOTEL di kawasan tanah tinggi juga mempunyai cerita mistik tersendiri. – GAMBAR HIASAN

Biarpun bising, tetapi kerana kepenatan mereka mampu tidur dan tidak terganggu dengan hilaian tersebut.

“Saya sempat menjeling ke arah jam, pada waktu itu terbangun untuk membuang air kecil pada pukul 2 pagi. Ketika mencuci tangan di sinki, saya ternampak kelibat makhluk hitam dan besar merenung ke arah saya.

“Kecut perut dan mahu menjerit, mulut saya seakan terkunci. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, saya terus menuju ke katil memejamkan mata sehingga tertidur sendiri,” katanya.

Sangka Murni, gangguan tersebut terhenti di situ sahaja, sebaliknya dia diganggu pula sewaktu tidur apabila bermimpi berada di alam bunian.

Menggambarkan seperti berada di sebatang sungai, kongsi Murni lagi, pada waktu itu dia dikelilingi oleh beberapa gadis cantik berkebaya. Dia kemudian dihulurkan secawan minuman sebelum dibawa ke sebuah rumah kecil.

“Saya sedar pada waktu itu saya sedang bermimpi. Tetapi untuk bangun dari mimpi itu amat sukar tidak seperti kebiasaaan.

“Badan saya terasa seperti dihempap dan saya mula membaca apa-apa ayat yang dihafal dengan harapan mampu bangkit dan keluar daripada mimpi tersebut.

“Tidak tahu berapa lama saya berperang dengan situasi tersebut, saya akhirnya berjaya bangkit. Sedar-sedar, rakan-rakan sudah berada di sekeliling sambil bacaan surah Yasin dibuka kuat dari telefon bimbit masing masing,” ceritanya.

Bukan Murni seorang yang diganggu dengan situasi mistik itu, kata gadis bertubuh gempal ini lagi, rakan-rakannya turut diganggu.

Ada yang diganggu dengan kelibat lembaga hitam, ada yang ditindih ketika tidur dan ada juga yang mendengar bunyi tangisan anak kecil.

Lebih membuatkan mereka takut apabila diberitahu, hanya tiga bilik di hotel itu yang berpenghuni dan kesemuanya belum berkahwin.

“Mahu check-out pada waktu itu masih lagi awal iaitu sekitar 6 pagi dan dengan keadaan kawasan di sana gelap menyebabkan kami terpaksa tunggu sehingga matahari terbit,” katanya.

Tepat jam 7 pagi sebaik matahari terbit, Murni dan rakan-rakan bergegas keluar daripada hotel tersebut.
“Receptionist di situ tanya adakah kami diganggu atau mengalami apa-apa peristiwa aneh?

“Apabila kami menceritakan semua yang telah terjadi, dia mengakui lokasi tersebut
sedikit keras dan ramai yang dikacau,” ceritanya.
————————————————————————————————————————————————–
ARTIKEL ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan
untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI