PARIS – Ketua Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino mendakwa para pemainnya kini mendapat tonik tambahan terbaik apabila aksi final Liga Juara-Juara (UCL) musim ini telah diputuskan akan berlangsung di Paris.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) kelmarin mengesahkan Stade de France bakal menjadi venue baharu untuk aksi final bagi menggantikan Gazprom Arena di St. Petersburg, Rusia.
Keputusan itu sekali gus meningkatkan semangat dan keyakinan PSG yang sedang berusaha untuk memburu kejuaraan Eropah pertama dalam sejarah kelab berkenaan.
“Sudah tentu ia satu motivasi tambahan yang terbaik buat para pemain apabila (Stade de France) dipilih sebagai venue baharu final Liga Juara-Juara.
“Ia akan menjadi lebih manis sekiranya (PSG) berjaya melangkah ke pentas final pada 28 Mei depan. Namun, banyak kerja perlu dilakukan untuk memastikan ia tercapai,” kata Pochettino.
PSG ketika ini berada pada landasan tepat untuk mara ke peringkat seterusnya selepas menang 1-0 ke atas Real Madrid menerusi gol tunggal Kylian Mbappe pada aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik di Parc des Princes minggu lalu.
Kekalahan 1-3 kepada Nantes dalam saingan Ligue 1 baru-baru ini dilihat telah menyedarkan barisan pemain skuad gergasi Perancis itu menjelang aksi timbal balik bertemu Real di Santiago Bernabeu pada 10 Mac depan.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik PSG dalam saingan Liga Juara-Juara adalah muncul naib juara edisi 2019/2020 selepas tewas 0-1 kepada Bayern Munich. – AGENSI