fbpx

Kejohanan sukan di Rusia dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GRAND Prix Rusia yang dijadual berlangsung di Litar Sochi pada 25 September nanti dibatalkan sebagai tanda protes pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. – AFP

LONDON – Tindakan Rusia melancarkan perang berskala penuh terhadap Ukraine menyebabkan beberapa kejohanan yang bakal berlangsung di negara tersebut menerima kesan selepas dibatalkan serta merta ekoran isu keselamatan.

Terbaharu, penganjur Formula 1 me­nyatakan bahawa mereka tidak akan menganjurkan perlumbaan Grand Prix (GP) Rusia yang dijadual berlangsung pada 25 September nanti di Litar Sochi.

“Kami melihat perkemba­ngan di Ukraine dengan sedih dan terkejut serta mengharapkan keadaan lebih baik. F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta pasukan membincangkan pendirian kami mengenai sukan ini.

“Selepas membuat keputusan dengan mengambil kira pandangan yang relevan daripada semua pemegang taruh, adalah mustahil untuk kami terus me­nganjurkan GP Rusia dengan situasi yang sedang berlaku ketika ini,” kata F1 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Selain itu, Persekutuan Ski Antarabangsa (FIS) turut membuat keputusan mengejutkan apabila bakal membatalkan semua acara Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung di Rusia sehingga penghujung musim.

Antara kejohanan yang turut dibatalkan ialah Piala Dunia Ski Cross di Sunny Valley yang dijadualkan bermula hari ini serta pertandingan aerial di Yaroslavl.

Atlet yang kini berada Rusia diarahkan untuk pulang ke negara masing-masing selepas Sweden, Norway dan Amerika Syarikat tekad untuk memboikot Piala Dunia FIS.

Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) turut membuat keputusan membatalkan beberapa kejohanan antaranya Liga Dunia Polo Air lelaki antara Rusia dan Greece yang tidak akan berlangsung di St. Petersburg pada 8 Mac nanti.

Pusingan ketiga Siri Dunia Renang Artistik dan pusingan pertama Siri Dunia Terjun yang diadakan di Kazan antara 8 dan 10 April turut dibatalkan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI