fbpx

Farisha Iris tak kejar trend kahwin muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARISHA IRIS

SEKITAR hujung tahun lalu, dunia hiburan digemparkan dengan banyak pendedahan mengejutkan apabila ramai selebriti memilih menamatkan zaman bujang pada usia muda.

Ada yang memilih berkongsi tarikh bahagia mereka kepada peminat, bahkan ada juga yang lebih mementingkan privasi apabila berkahwin secara rahsia sebelum kemudian mengumumkan status perkahwinan selepas beberapa bulan berkahwin.

Kahwin, satu perkataan yang agak tabu dalam dunia hiburan kerana frasa tersebut dianggap menjadi ‘pembunuh’ karier seseorang artis.

Pun begitu, trend kahwin pada usia muda yang berlaku dalam dunia hiburan tempatan pada tahun lalu sebaliknya menerima respons positif daripada kalangan peminat yang tumpang gembira dengan hubungan halal artis kesayangan mereka.

Melihat rakan-rakan seangkatan yang sudah beralih status bagaimanapun tidak pernah membuatkan hati penyanyi bertubuh genit, Farisha Iris terjentik untuk mengikut jejak langkah mereka.

TAK pernah terusik melihat ramai rakan selebriti berkahwin awal, Farisha tetap berpegang bahawa jodoh bukan sesuatu yang perlu didesak dan akan datang tepat pada waktunya.

Ujar Farisha ketika dihubungi Pose baru-baru ini, dia sama seperti orang lain dengan berpegang prinsip bahawa ketentuan jodoh bukan satu hal yang boleh didesak sesiapa.

“Memang seronok tengok kawan-kawan berkahwin dan bertemu jodoh pada usia muda.

“Tetapi sejujurnya, saya tak ikut trend tersebut. Sebab kita semua tahu yang soal jodoh bukan sesuatu yang perlu didesak. Sampai waktunya nanti pasti akan bertemu,” jawabnya.

Soal tersebut dibangkitkan kepada pemilik nama penuh Farisha Asmadi itu berikutan perkongsiannya dalam Instagram apabila hajat menunaikan ibadah umrah bersama kedua orang tuanya tidak kesampaian baru-baru ini.

Mengakui sedih selepas perancangannya berangkat ke Tanah Suci tidak kesampaian selepas dijangkiti Covid-19 pada awal Februari lalu sehingga mengganggu jadual kerja, namun Farisha kuatkan diri.

Ujar penyanyi yang terkenal dengan lagu Hello itu, dia percaya Tuhan menjanjikan hadiah yang jauh lebih baik selepas ini.

DALAM perkembangan terkini, Farisha baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Baek bersama Alan D pada Januari lalu.

“Sedih memang sedih, sampaikan saya menangis seharian sebab tak dapat
ikut mama dan papa ke sana. Tapi nak buat macam mana, kalau dah namanya bukan rezeki.

“Kos yang dikeluarkan juga hangus begitu sahaja tetapi tidak mengapa, duit boleh dicari. Saya yakin, Allah nak tetapkan yang lebih baik untuk saya nanti. Mungkin bukan sekarang tetapi insya-Allah Dia akan beri peluang ke sana pada waktu dan umur yang lebih baik,” tuturnya optimis.

Andai dirinya berpeluang menjejakkan kaki ke sana, Farisha sama seperti orang lain, memasang impian memanjatkan banyak doa untuk diri sendiri di Tanah Suci.

“Doa-doa saya semuanya lain macam (ketawa). Tapi dah minta mama bacakan untuk saya di sana. Banyak doa saya selitkan seperti minta diberi kesihatan baik, rezeki dan jodoh.

“Memang saya masih muda tapi kadang-kadang risau juga, sebab mama selalu cakap yang saya ini tua. Jadi saya minta mama doakan saya diberi jodoh yang baik, betul-betul bertanggungjawab dan mampu bahagiakan saya,” katanya lagi.

Berkongsi sedikit perkembangan terkini, penyanyi yang pernah menyertai pertandingan realiti Idola Kecil musim keempat (2011) itu kini sibuk menyambung penggambaran sebuah drama episod.

“Drama ini sepatutnya habis penggambaran sebelum tarikh saya pergi umrah, tapi nak buat macam mana, selepas dijangkiti Covid-19, jadual beranjak.

“Selain drama ini yang masih belum ada tajuk, saya sebenarnya pernah terima beberapa buah tawaran berlakon telemovie. Alhamdulillah rezeki berlakon sangat luas walaupun sebenarnya tak berapa pandai. Tetapi tawaran tersebut saya tolak sebab nak beri laluan untuk ibadah umrah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI