PUTRAJAYA – Konvoi yang memindahkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka dari Kiev, Ukraine selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan negara itu dengan Poland hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, turut bersama-sama mereka dalam rombongan diketuai Ketua Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Kiev, Fadhilah Daud adalah seorang warga Singapura.
“Konvoi tersebut telah disambut oleh dua pegawai dari Kedutaan Malaysia di Poland.
“Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan bahawa kerajaan akan berusaha membawa keluar warganegara Malaysia tersebut berikutan konflik yang semakin meruncing antara Ukraine dan Rusia.
Selain rakyat Malaysia berkenaan, 13 lagi warganegara telah meninggalkan Ukraine sejak beberapa minggu lalu. – KOSMO! ONLINE