TUMPAT – Kira-kira 3,000 penduduk di 11 kampung di Kepulauan Tumpat berhampiran Sungai Kelantan dekat sini terputus bekalan elektrik sejak malam tadi selepas sebuah kapal pengorek pasir yang hanyut sebelum merempuh tiang elektrik di Kampung Pulau Beluru, dekat sini.
Kejadian itu disedari penduduk di kepulauan tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam tadi apabila rumah mereka tiba-tiba terputus elektrik.
Penghulu Mukim Pulau Seratus, Che Dir Che Hamid berkata, kapal pengorek pasir itu hanyut kira-kira dua kilometer dari lokasi asal iaitu di Kampung Pasir Pekan sebelum dibawa arus sungai deras dan melanggar tiang elektrik di tebing sungai.
“Kebiasaannya, sesuatu benda berat yang hanyut akan terus menuju ke laut, namun disebabkan berlaku pertembungan fenomena air pasang dan arus deras, kapal itu tersangkut di sini.
“Apabila tiba di Pulau Beluru, ia terus merempuh tiang elektrik sehingga tumbang menyebabkan kami semua terputus bekalan elektrik,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurut Che Dir, selepas mengetahui punca bekalan elektrik terputus, kebanyakan penduduk kampung terus ke Kampung Kok Majid untuk membeli bekalan lilin.
Katanya, difahamkan keadaan tanpa elektrik itu akan berlaku dalam tempoh lama dan pihak berwajib diharap dapat membuat inisiatif lain sementara menunggu penyelesaian sepenuhnya dibuat kerana penduduk memerlukan bekalan elektrik.
Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah berkata, pihaknya sudah berhubung dengan wakil Tenaga Nasional Berhad mengenai masalah itu. -KOSMO! ONLINE