LEEDS – Tottenham Hotspur kembali ke landasan kemenangan dengan membelasah Leeds United 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Elland Road sebentar tadi.
Kemenangan itu menceriakan semula pengurus Spurs, Antonio Conte susulan kekalahan mengejut 0-1 kepada pasukan bawahan liga, Burnley di Stadium Turf Moor pada Khamis lalu.
Dalam aksi itu, Spurs bermula garang dengan melakukan serangan bertali arus ke arah gawang Leeds sebaik perlawanan bermula dan berjaya meraih gol pertama menerusi jaringan Matt Doherty pada minit ke-10.
Tidak lama kemudian, kerapuhan benteng pertahanan Leeds terus dimanfaatkan sebaiknya oleh jentera serangan Spurs dengan gol kedua menerusi rembatan cantik Dejan Kulusevski pada minit ke-15.
Kehebatan Spurs sememangnya gagal ditandingi oleh skuad bimbingan Marcelo Bielsa itu apabila kali ini giliran penyerang prolifik England, Harry Kane menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-27.
Bersambung babak kedua, Leeds cuba bangkit untuk menyaingi Spurs apabila melakukan dua pertukaran dengan membawa masuk Mateusz Klich dan Rodrigo Moreno pada minit ke-46.
Malangnya, ia masih gagal membantu Leeds untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol, sebaliknya Spurs yang berjaya menambah jaringan keempat melalui Son Heung-min pada lewat permainan.
Kemenangan itu membolehkan Spurs naik ke tangga ketujuh EPL dengan 42 mata selepas mengharungi 25 perlawanan setakat ini.
Leeds pula terpaksa menerima hakikat mengalami kekalahan kelima daripada enam perlawanan dan semakin terdesak untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran liga. – AGENSI