PUTRAJAYA – Sebanyak empat bilik gerakan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor bermula hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri tersebut.
SPRM menerusi satu kenyataan berkata, pembukaan bilik gerakan itu bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berhubung sebarang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam PRN berkenaan.
“Empat bilik gerakan yang dibuka itu Pejabat SPRM Johor di Tampoi (07-2316080), Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat (07-4321982), Pejabat SPRM Cawangan Kluang (07-7714610) dan Pejabat SPRM Cawangan Segamat (07-9317982).
“Kesemua bilik gerakan tersebut akan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 12 malam setiap hari sepanjang tempoh PRN Johor berlangsung,” ujar kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, orang ramai boleh juga menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui aplikasi Whatsapp di talian 010-8414384 atau menerusi emel [email protected].
“SPRM mengingatkan kepada semua calon dan parti politik bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012),” kata SPRM. – KOSMO! ONLINE