JOHOR BAHRU – Seramai 239 calon daripada 11 parti politik termasuk calon bebas layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah itu melibat permohonan yang diterima sehingga pukul 10 pagi hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu juga, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di 30 DUN, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di 42 DUN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di 20 DUN, calon Bebas di enam kerusi, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di tujuh kerusi dan Parti Warisan Sabah (Warisan) di enam DUN.
Turut meletakkan calon katanya, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4) dan Parti Bumiputera Perkasa (Putra) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon.
“Tiada pencalonan ditolak selepas proses penamaan calon berakhir. Daripada segi pertandingan mengikut penjuru, tujuh DUN akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dan 35 DUN empat penjuru.
“Selain itu, lapan DUN menyaksikan pertembungan lima penjuru, empat DUN enam penjuru dan dua DUN melibatkan pertembungan tujuh penjuru,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, seramai 202 calon lelaki akan bertanding pada PRN Johor 2022, manakala calon wanita seramai 37 orang.
Jelas beliau, calon paling tua berusia 71 tahun akan bertanding di DUN Bukit Permai mewakili PN, manakala dua calon paling muda berusia 26 tahun masing-masing akan bertanding di DUN Mengkibol dan Tangkak.
“Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiran pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga pukul 11.59 malam pada 11 Mac depan.
“SPR juga ingin memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor ke-15 telah diluluskan dan akan dilaksanakan dengan ketat,”ujarnya.
Seramai 2,597,742 orang layak mengundi pada PRN Johor 2022 melibatkan 2,574,835 pengundi biasa, 22,531 pengundi awal, dan 376 pengundi tidak hadir. – KOSMO! ONLINE