MERSING – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mohd. Fakrulradzi Mahmud, 32, tidak kisah menangguhkan rancangan berbulan madunya bersama isteri demi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kata beliau, majlis persandingannya itu yang jatuh pada hari penamaan calon merupakan sesuatu yang tidak rancang dan hanya kebetulan.
“Hari penamaan calon dan hari perkahwinan saya tidak dirancang. Pada awalnya memang hendak buat pada 26 Februari dan kebetulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum penamaan calon pada tarikh yang sama.
“Jadi bagi saya korban masa saya di hari bahagia untuk datang penamaan calon demi rakyat Johor.
“Untuk perancangan bulan madu buat sementara ini saya terpaksa batalkan dan utamakan pilihan raya ini untuk anak muda,” katanya kepada pemberita selepas menghantar borang penamaan calon di Dewan Serbaguna Endau di sini hari ini.
Sementara itu, isteri Mohd. Fakrulradzi, Mardiah Abd Razak, 34, yang turut mengenakan busana pengantin berkata, majlis persandingan mereka akan berlangsung di Kampung Sungai Mengkuang.
Katanya, dia tidak kecewa dengan perancangan berbulan madunya yang terpaksa dibatalkan ekoran suaminya perlu berkempen untuk pilihan raya itu.
“Saya tahu perjuangan suami untuk agama dan masyarakat. Saya sokong perjuangannya dan tiada masalah kerana dia lakukan demi rakyat,” katanya.
Terdahulu, DUN Endau menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan Mohd. Fakrulradzi, penyandangnya Alwiyah Talib mewakili Perikatan Nasional, Mohd. Youzaimi Yusof (Barisan Nasional), Mohd. Noorhisyam Ibrahim (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon Bebas, Ismail Don.
Proses penamaan calon bagi kerusi DUN Endau berjalan dengan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE