fbpx

Isu pembukaan sempadan selesai sebelum Hari Raya Aidilfitri – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika bercakap pada sidang media di Krung Thep Maha Nakhon, Thailand hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan isu berhubung pembukaan sempadan negara akan diselesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ismail Sabri berkata, perkara berkenaan belum diputuskan, namun sedang diberi perhatian oleh pelbagai pihak berkaitan agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Perkara ini juga telah dibincangkan bersama Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Chav dan kami telah bersetuju membenarkan semula aktiviti rentas sempadan dalam masa terdekat.

“Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Udara agak mudah kerana saringan boleh terus dilakukan di lapangan terbang.

“Namun saringan di pintu masuk negara melalui jalan darat agak rumit dan sedang diperhalusi oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang media di Krung Thep Maha Nakhon, Thailand hari ini.

Ismail Sabri berkata, KKM sedang memikirkan kaedah terbaik untuk diguna pakai di pintu masuk jalan darat negara bagi mengelakkan berlakunya sebarang kesesakan susulan orang ramai yang menunggu untuk disaring.

“Beberapa cadangan telah diberikan bagi menyelesaikan perkara ini dan KKM akan mencari kaedah terbaik bagi memudahkan serta mempercepatkan proses saringan agar pembukaan sempadan dapat dilakukan dalam masa terdekat.

“Bagi saya VTL-Darat antara Malaysia dan Thailand ini amat penting kerana ia bukan sahaja melibatkan pelancongan tetapi juga sektor perdagangan dua hala di kawasan sempadan yang menyumbang kepada 50 peratus hasil dagangan negara secara keseluruhannya termasuk hubungan kekeluargaan yang terpisah sejak dua tahun ini akibat Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, pembukaan semula sempadan melalui jalan darat itu bukan sahaja melibatkan Thailand, namun akan turut melibatkan Indonesia dan Brunei memandangkan masih ramai yang terkandas akibat penutupan sempadan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan tentang persetujuan beliau dan rakan sejawatnya itu untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 dikeluarkan negara masing-masing.

“Persetujuan pengiktirafan itu juga akan disusuli dengan proses integrasi dua aplikasi iaitu MySejahtera Malaysia dan MorProm Thailand bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan kedua-dua negara,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI