KHAMIS lalu, gendang perang sudah dipalu di Ukraine apabila bala tentera Rusia mula memasuki negara itu selepas Presiden Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan besar-besaran di kawasan yang bergolak sejak bertahun-tahun lalu.
Deretan kereta kebal Rusia dan senjata berat lain dilaporkan melintasi sempadan di utara Ukraine di samping dari Semenanjung Crimea yang dirampas oleh Kremlin di bahagian selatan negara itu.
Apakah dan bagaimanakah kesudahan perang itu kelak hanya masa yang menentukannya.
Demi kuasa dan ego, manusia sanggup melakukan apa sahaja meskipun terpaksa berbunuhan dan menyebabkan nyawa terkorban baik dalam kalangan tentera mahupun orang awam.
Kita menyaksikan banyak siri peperangan di dunia daripada Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan pelbagai lagi perang sehinggalah keadaan menjadi sedikit aman selepas tentera Daesh tewas di Syria meskipun politik negara itu masih bergolak sehingga hari ini.
Berbalik di negara kita sendiri, siri ‘peperangan’ juga kelihatan seakan tidak berkesudahan.
Dahulu, biasanya gendang perang pilihan raya berlangsung empat atau lima tahun sekali, namun kini berselang beberapa bulan sahaja.
Ketidaktentuan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 menyaksikan siri pilihan raya negeri (PRN) yang hampir berturutan bermula dengan Sabah pada September 2020, diikuti Melaka (November 2021), Sarawak (Disember 2021) dan Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.
Keadaan itu menjadikan seolah-olah anggota parti terpaksa bekerja tanpa henti bagi menyusun strategi, melaksanakan gerak kerja, melancarkan kempen serta mempertahankan serangan dan dakyah parti lawan.
Tidak kiralah apa keadaan sekali pun, sama ada ketika negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 atau rakyat sengsara akibat tekanan dan krisis ekonomi, jentera parti mesti bergerak dan digerakkan sebaik mungkin.
Keghairahan itu diterjemahkan dengan pengumuman parti-parti yang bertanding pada PRN Johor kali ini yang jelas menunjukkan seolah-olah semua pihak tidak mahu ketinggalan merebut peluang yang terbuka meskipun ada yang sekadar mahu mencuba nasib atau lebih diistilahkan sebagai ‘test market’ dalam kalangan pengundi.
Jika pada pilihan raya bagi peringkat Dewan Undangan Negeri Johor pada 2018 cuma 158 calon yang bertanding, namun pada kali ini dianggarkan lebih 200 calon menawarkan diri untuk merebut 56 kerusi.
Begitulah uniknya orang kita setiap kali menjelang pilihan raya. Tidak kira yang tua atau muda semuanya bercita-cita memegang tampuk kuasa atas alasan hanya ‘kami’ yang terbaik untuk dipilih waima sebilangan calon tidak tahu pun apa tanggungjawab yang terpaksa dipikul kelak.
Kepada para pengundi dan khususnya 700,000 orang muda yang buat pertama kali memikul tanggungjawab memangkah calon pilihan. Buatlah keputusan terbaik kerana yang sepatutnya menang kelak bukan calon yang bertanding itu.
Kemenangan sebenar selepas pilihan raya adalah apabila hak rakyat untuk hidup dalam negeri dan negara yang ditadbir yang baik, aman, makmur dan sejahtera tercapai. Selamat ‘berperang’ kepada seluruh jentera parti.