EMPAT pelumba muda negara melaungkan amaran untuk melakukan aksi terbaik menjelang perlumbaan pembukaan Asia Talent Cup (ATC) yang membuka tirai di Qatar pada 4 hingga 6 Mac depan.
Perlumbaan tersebut diketuai pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli yang akan ditemani tiga pelumba baharu iaitu Farres Putra Fadhill, Emil Idzhar Ezuan dan Farish Hafiy Farid Sezli.
Pastinya sandaran utama terletak kepada Hakim selepas mempunyai pengalaman bersaing pada ATC musim lalu, malah turut meraih tiga penamat podium tempat ketiga, masing-masing di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada Mac dan April lalu.
“Saya sangat gembira pada tahun ini kerana kami telah melakukan persiapan cukup baik sebelum menuju ke Qatar untuk sesi ujian rasmi nanti.
“Saya juga dapat jalani latihan dengan jentera yang saya akan gunakan pada ATC tersebut, malah saya juga menjalani latihan dengan jurulatih terbaik.
“Mengenai sasaran, saya enggan ulas lebih awal kerana saya akan mahu fokus satu demi satu perlumbaan dan selepas itu kita akan lihat pusingan pertama di Qatar nanti,” katanya sejurus berlepas ke Qatar malam kelmarin.
Sementara itu, Farres Putra bertekad dan bersedia untuk mengharumkan nama negara dengan memburu podium menjelang penampilan pertamanya pada saingan ATC.
“Saya telah melakukan persiapan sejak musim 2021 lagi dan pastinya saya teruja untuk memulakan saingan ATC 2022 di Qatar. Sasaran saya adalah ingin menaiki podium setiap pusingan perlumbaan,” ujarnya.