IPOH – Industri pelancongan Perak dijangka terjejas akibat peningkatan kes Covid-19.
Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil kini bimbang untuk keluar rumah disebabkan oleh penularan wabak berkenaan.
Katanya, keadaan itu memberi impak ke atas bilangan pelancong yang masuk ke negeri ini berbanding semasa cuti persekolahan Disember lalu.
“Kita jangka akan berlaku pengurangan pelancong namun belum mendapat jumlah sebenar. Dari segi pembatalan tempahan hotel, saya tidak pasti kerana data terkini juga belum diperolehi.
“Namun saya pasti, pelancong yang dikuarantin kerana kontak rapat akan menangguhkan tempahan bilik hotel. Ini antara yang menyumbang kepada penurunan bilangan pelancong selain rasa takut untuk keluar,” katanya pada sidang media Majlis Pra-Pelancaran Tasik Cermin Eco Park di sini hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Munir Ishak dan Pengarah Pembangunan Pelancongan Tasik Cermin Eco Park, Siti Norlizawati Narawi.
Sementara itu mengulas mengenai pembukaan semula Pulau Sembilan di Bagan Datuk, beliau berkata, pulau pelancongan itu masih belum mendapat kebenaran untuk dibuka sepenuhnya.
Katanya, pelancong tidak dibenarkan turun ke pulau tersebut namun lawatan di atas air masih diteruskan.
“Untuk bermalam dan mendarat di atas pulau belum lagi dibenarkan kerana kita mengambil pendekatan mengadakan rehabilitasi sepenuhnya sebelum membuka pulau itu kepada orang awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE