ALOR GAJAH – Hasrat seorang pelajar tahfiz untuk pulang ke rumah menggunakan motosikal ustaznya tidak kesampaian selepas terbabas ke dalam longkang di Kilometer 197.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa, Muhammad Ashraf Abdullah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah tahfiz di Jasin menghala ke rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan.
“Setiba di lokasi, kita percaya motosikal jenis Yamaha Lagenda 115z ditunggangi mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam longkang di bahu jalan.
“Aibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.40 tengah malam tadi oleh pihak hospital,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil semakan dibuat, motosikal yang ditungangi suspek adalah milik seorang ustaz yang mengajar di tahfiz berkenaan.
“Difahamkan mangsa tidak memaklumkan kepada ustaz tersebut untuk menggunakan motosikal itu pulang ke rumahnya.
“Siasatan pegawai penyiasat juga mendapati keadaan di tempat kejadian gelap tiada lampu jalan,”katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE