fbpx

Pelajar Malaysia lihat ambulans bergerak sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesakit di sebuah hospital di Sumatera Barat dikeluarkan ke kawasan lapang ketika gempa bumi baru-baru ini. - AFP

PETALING JAYA – Pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Sumatera Barat, Indonesia mence­ritakan detik-detik cemas ketika berlaku gegaran yang kuat akibat gempa bumi yang mengegarkan pulau itu pagi semalam.

Pelajar tahun akhir dalam jurusan kedoktoran di Universitas Andalas, Solehah Mohd. Shahruddin, 28, berkata, ketika kejadian berlaku, dia sedang bertugas di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) M. Djamil Padang.

Secara tiba-tiba, dia merasai satu gegaran kuat sehingga mengejutkan para pesakit serta pekerja rumah sakit tersebut.

“Gegaran pertama sekitar pukul 9.35 pagi waktu Malaysia dan kami yang berada di rumah sakit merasai gegaran itu dalam tempoh 5 hingga 6 saat sahaja.

“Kemudian, selang empat minit daripada gegaran pertama, berlaku sekali lagi gegaran kuat yang lebih lama sekitar kurang seminit.

“Bayangkan, gegaran kuat tersebut mampu menggerakkan beberapa buah ambulans yang sedang berada di kawasan parkir rumah sakit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, selepas kejadian, dia bersama beberapa rakannya diarahkan untuk pulang ke rumah bagi mengelakkan daripada berlaku kejadian tidak diingini.

Berita berkaitan: Gempa di Sumatera Barat turut dirasai di Malaysia

Setiba di rumah, dia mendapati, dinding rumahnya retak sehingga ke bahagian siling atap.

“Kami kebiasaannya selalu menjadikan keretakan yang berlaku pada dinding rumah sebagai penanda aras terhadap tahap kekuatan gegaran yang berlaku.

“Kalau gegaran itu kuat, din­ding rumah memang akan retak dan menjadi renggang,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar di universiti sama, Nurhaslinda Sirazudeen, 23, memberitahu, dia turut merasai gegaran susulan keja­dian gempa bumi tersebut.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah bersama dua rakan dan masing-masing berada di dalam bilik. Gegaran pertama dapat dirasakan, tetapi tidaklah terlalu panik kerana sudah biasa berlaku gegaran seperti itu, lagi pun tidak terlalu kuat.

“Namun, tiba-tiba berlaku gegaran kedua yang lebih kuat sehingga penyapu terjatuh dan kami kemudian keluar rumah.

“Keadaan di luar rumah mula kecoh dengan suara jiran-jiran. Kami masih boleh tenang kerana tidak berlaku tsunami,” katanya.

Menurut Nurhaslinda, pihak Education Malaysia Indonesia telah menghubunginya untuk menanyakan keadaan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di kawasan terlibat dan pihak mereka meminta senarai nama pelajar yang masih menetap di sana.

“Sekarang ini, kami cuma risau gempa susulan yang mungkin boleh berlaku dalam skala yang lebih besar,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI