TEMERLOH – Akibat terperdaya dengan kemewahan hidup suspek yang memuat naik gambar bersama kereta mewah dan resit keuntungan dalam status WhatsApp menyebabkan seorang peniaga kedai makan berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM343,203 selepas ditipu dalam satu skim pelaburan.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang merupakan lelaki berusia 28 tahun amat terkesan selepas kesemua wang simpanannya habis sekelip mata dan dia sudah tidak mampu membayar komitmen bulanan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, selepas mengekori status WhatsApp suspek yang sering memaparkan keuntungan pelaburan dan penampilan menarik suspek berkereta mewah, mangsa mula menghubungi suspek melalui panggilan telefon dan WhatsApp pada 3 Oktober tahun lalu.
“Suspek kemudiannya memberi penerangan tentang skim pelaburan saham yang diberi nama Stok Global Market yang mana setiap pelabur dijanjikan keuntungan 50 peratus daripada modal dan dibayar setiap 15 hari bermula Isnin hingga Jumaat.
“Suspek yang menyatakan skim pelaburan tersebut berbentuk perdagangan di Bursa Malaysia memberi jaminan bertanggungjawab ke atas kerugian dialami pelabur dan menyatakan satu akaun pelaburan berharga RM413 dengan keuntungan sehari ialah RM40,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurutnya mangsa kemudiannya telah membuka 176 akaun buat pertama kali dengan pelaburan sebanyak RM72,688 dan mendapat keuntungan sebanyak RM35,200 bagi setiap pusingan dengan kadar tiga pusingan dalam tempoh 15 hari.
Katanya, terpengaruh dengan pulangan pertama itu mangsa membuka 655 akaun lagi dan meninggkatkan pelaburan sehingga 831 akaun dengan jumlah pelaburan sebanyak RM343,203.
“Setelah beberapa minggu mangsa dibayar dengan sejumlah wang seperti dijanjikan tetapi suspek mula melambatkan pembayaran dan lebih kurang tiga bulan kebelakangan ini mangsa langsung tidak menerima wang keuntungan daripada pelaburan tersebut.
“Apabila diminta wang suspek memberi pelbagai alasan dan enggan membayar semula modal pengadu dengan alasan dia turut mengalami kerugian dalam pelaburan tanpa menunjukan sebarang bukti kepada mangsa,”katanya.
Tambahnya, suspek kemudiannya meletakkan syarat baharu dengan meminta mangsa membuat bayaran modal baharu jika tidak mahu akaunnya ditamatkan dengan meminta mangsa membuka lima akaun baharu bernilai RM2,065 bagi setiap akaun induk dimiliki mangsa.
Sementara itu katanya mangsa yang amat terkesan sehingga tidak mampu membayar komitmen bulanan kemudiannya berasa ditipu dan membuat laporan polis semalam bagi mendapatkan semula wang yang dilaburkan.
Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan berdasarkan siasatan awal modus operandi kes ini ialah suspek memperdaya mangsa dengan pelaburan saham ‘Stock Market’ sehingga mengalami kerugian. – KOSMO! ONLINE