LONDON – Seorang lelaki di London Barat didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyuntik darah miliknya sendiri ke dalam produk makanan di beberapa buah pasar raya dengan jumlah kerugian sehingga £500,000 (RM2.8 juta), lapor akhbar The Sun semalam.
Leoaai Elghareeb, 37, dalam kejadian pada 25 Ogos tahun lalu berkeliaran di tiga buah pasar raya iaitu Sainsbury’s Local, Tesco Express dan Little Waitrose sambil membawa bekas yang berisi jarum hipodermik.
Berdasarkan beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), dia dilihat berjalan di bahagian makanan sedia dimakan sebelum menyuntik beberapa produk menggunakan picagari.
Tertuduh kemudian berjalan di bahagian lain sambil meninjau produk-produk makanan yang ada. Dalam masa sama, sebatang picagari turut diletak pada mulutnya sebelum menyuntik produk makanan kedua.
Selain itu, tertuduh juga dilaporkan melemparkan sebatang picagari terhadap seorang doktor, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Dalam perbicaraan di mahkamah, dia menafikan tiga dakwaan mencemarkan barangan dan dua pertuduhan melakukan serangan atas alasan tidak waras.
Dalam pembelaannya, tertuduh mendakwa bahawa dia berada dalam keadaan tidak siuman ketika melakukan semua tindakan tersebut.
Perunding Pakar Psikiatri Forensik, Dr. Bradley Hillier memberitahu mahkamah bahawa terduduh mengalami psikotik teruk ketika kejadian dan tidak dapat memikirkan sama ada tindakannya adalah salah atau sebaliknya.
“Dia tidak dapat berfikir dengan waras. Dia amat terbeban dan terseksa, itu adalah perkataan yang digunakan,” katanya.
Pihak juri masih mempertimbangkan keputusan perbicaraan. – AGENSI