SHAH ALAM – Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Bank) bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk projek pembinaan Kompleks AT-Tijarah Affin-UiTM.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah berkata, kerjasama tersebut adalah untuk menyediakan peluang keusahawanan bagi pelajarnya serta masyarakat setempat.
Menurut beliau, pertukaran memorandum tersebut juga adalah kesinambungan daripada sumbangan RM4.5 juta oleh pihak Affin untuk membina Kompleks AT-Tijarah AFFIN-UiTM.
“Hasil daripada penyewaan unit komersial ini akan disalurkan kepada pelajar dan komuniti UiTM untuk membantu mereka dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis menandatangani Mou dengan Rektor UiTM Selangor, Profesor Dr. Ahmad Sazali Hamzah di sini semalam.
Nazlee menerangkan, kompleks tersebut mempunyai sejumlah 36 lot kedai dengan 70 peratus telah disewa untuk tujuan komersial seperti bank, medan selera, restoran, kedai komersial dan kedai runcit serbaguna.
Menurut beliau, kompleks tersebut akan memberi peluang kepada pelajar untuk menjadi usahawan dan menjana pendapatan sendiri.
“Pihak Bank sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak UiTM untuk menyokong kebajikan pelajarnya.
“Oleh yang demikian, MoU ini adalah sebahagian daripada usaha kami yang dijalankan untuk manfaat mereka dan menunjukkan komitmen kami untuk mengembangkan pembangunan keusahawanan di negara ini, yang boleh meningkatkan ekonomi dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menjana pendapatan baharu,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE