Oleh LIYANA RAMLI
IPOH – Kerajaan negeri akan membantu seramai 200 golongan remaja, wanita muda dan wanita tergolong dalam ketegori B40 yang berhadapan dengan isu kemiskinan haid.
Golongan ini menerima manfaat menerusi program Pemberian Kit Asas Sanitasi Wanita Negeri Perak (PROKiS).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, program ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pengurusan haid terutamanya remaja.
“Program ini untuk membantu menyelesaikan isu kemiskinan haid seperti kekurangan atau ketiadaan kemudahan sanitasi dan kekurangan pendidikan.
“Kita fokuskan pada tiga lokaliti Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu Rumah Pangsa Jalan Hospital, Pangsapuri Seri Kepayang dan Rumah Pangsa Pasir Putih,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perlancaran program PROKiS di Dewan Komuniti Greentown di sini hari ini.
Katanya, soal haid juga menyebabkan remaja enggan pergi ke sekolah kerana tidak tahu menguruskan diri mereka.
“Kadang-kadang remaja yang baru datang haid semasa proses itu, jadi jika ruang privasi atau kemudahan disediakan, mereka akan jadi lebih selasa dan mudah untuk menguruskan diri.
“Kadangkala ada yang tidak hadir ke sekolah kerana haid yang boleh menyebabkan keciciran pelajaran, jadi hal ini sebenarnya satu isu yang perlu dititikberatkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE