PENGALAMAN bertarung dengan seekor ikan layaran seberat 30 kilogram (kg) di tuas berhampiran Pulau Payar dekat Pulau Langkawi, Kedah empat tahun lalu meninggalkan kenangan paling manis buat pemancing laut dalam, Shahrul Rizal Che Omar, 41.
Menurutnya yang berasal dari Kampung Parit Buaya, Alor Setar, dia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menewaskan ikan tersebut.
“Ia merupakan kenangan paling manis saya lalui sepanjang terlibat dalam aktiviti memancing laut dalam sejak 20 tahun lalu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, bukan mudah untuk menaikkan ikan jenis itu kerana ia memerlukan pengalaman serta kekuatan dan ketahanan tangan dalam masa yang agak panjang.
“Layaran bukan calang-calang ikan untuk ditewaskan, namun kejayaan menewaskannya memberi kepuasan yang sukar untuk digambarkan.
“Bagi pemancing laut dalam, kejayaan menaikan layaran seperti game fish yang cukup mencabar. Selepas menaikkannya, saya sempat bergambar dan kemudian melepaskannya kembali ke laut,” ujarnya.
Ujarnya, pengalaman tersebut menjadikannya lebih bersemangat untuk turun ke laut dalam sehingga hari ini.
“Saya bersama rakan pasti turun ke laut pada setiap bulan. Ia menjadi hobi yang memberikan ketenangan selepas penat bekerja,” jelasnya yang berniaga char kuetiau.
Bercerita lanjut, kata Shahrul, dia kebiasaannya turun ke laut melalui Jeti Kubang Rotan di Kuala Kedah dan Sungai Baharu di Perlis pada pukul 6 pagi.
“Saya akan keluar memancing sehingga pukul 6 petang atau terus bermalam di laut supaya dapat pergi ke tukun yang lebih jauh.
“Antara tukun yang menjadi sasaran kami ialah di Langkawi dekat Pulau Payar yang pasti menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.
Menurutnya, kawasan tuas atau tukun tiruan di situ menjadi lubuk pelbagai jenis ikan seperti tenggiri, kerapu, berangan, jenahak, cencaru dan pari.
“Tuas Pulau Payar merupakan lubuk ikan paling mencabar, tetapi sering memberi tuah kepada kami.
“Sentapan ikan di tuas itu seolah -olah mencabar kami untuk menangkapnya,” katanya.
Katanya, dia dan rakannya menggunakan teknik memancing dasaran dan pertengahan yang mampu membawa hasil lumayan.
“Menggunakan teknik pertengahan, kami mampu menewaskan ikan yang berada di pertengahan laut jenis tenggiri, alu-alu dan layaran .
“Sementara teknik dasaran pula kami mampu mendapat hasil laut seperti kerapu, jenahak, gerut-gerut dan pari dengan menggunakan umpan sotong, udang dan ikan kembung,” katanya lagi.
Bagi teknik dasaran dan pertengahan jelasnya, penggunaan kaedah itu perlu melihat keadaan arus.
Ini kerana jelasnya, ia mampu memberi kesan kepada hasil tangkapan.
Tambahnya, jika bermalam di tengah laut, mereka akan memasak hasil tangkapan dan makan bersama.