JAKARTA – Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Kewarganegaraan Awam (Dukcapil) mengeluarkan Data Kependudukan Semester Kedua 2021 pada 30 Disember tahun lalu dengan penduduk Indonesia kini berjumlah 273,879,750 orang, lapor laman berita Merdeka.com kelmarin.
“Terdapat peningkatan jumlah penduduk iaitu sebanyak 2,529,861 orang berbanding tahun 2020,’’ kata Ketua Pengarah Dukcapil, Zudan Arif Fakrulloh, kelmarin.
Daripada jumlah 273 juta penduduk, 138,303,472 orang adalah lelaki (50.5 peratus), manakala 135,576,278 adalah wanita (49.5 peratus).
Beliau juga melaporkan terdapat 6,577,916 perpindahan oleh penduduk di dalam negara baik antara daerah, bandar atau wilayah.
“Pangkalan data kami juga merekodkan terdapat laporan kelahiran penduduk seramai 691,259 orang dan kematian seramai 1,580,865 orang,” katanya.
Kawasan dengan jumlah penduduk paling ramai di peringkat wilayah adalah di Jawa Barat dengan jumlah 48,220,094 penduduk. Wilayah Kalimantan Utara adalah yang paling sedikit iaitu 698,003 penduduk.
Di peringkat daerah, Bogor merupakan kawasan dengan jumlah penduduk paling ramai iaitu 5,327,131 orang manakala yang paling sedikit adalah di daerah Supiori, wilayah Papua dengan jumlah 24,855 orang. – Agensi