fbpx

Sambutan Citrawarna 2022 di Kuching berakhir esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
rakaman perarakan perauk (perahu) tambang berhias pada Majlis Perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching, Sarawak hari ini. (Foto kredit: Japen)

Oleh AHMAD AMMAR HAREEZ

KUCHING – Pemilihan Kuching sebagai lokasi sambutan Citrawarna 2022 amat bersesuaian kerana bandar raya itu telah mendapat pelbagai pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya adalah pengiktirafan Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi serta Asean pada November 2021 dan Bandaraya Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik pada 2018.

“Menerusi pengiktirafan sebagai Bandar Kreatif Gastronomi (Creative City of Gastronomy) ini, Kuching dilihat mampu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan serta kebudayaan khususnya di Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching Sarawak di sini, hari ini.

Tambahnya, festival yang berlangsung selama empat hari iaitu bermula 24 hingga Febuari (esok) sudah pasti berupaya mempromosikan produk kesenian dan warisan khususnya di Sarawak yang sememangnya cukup kaya dengan biodiversiti.

“Daripada hidangan makanan tempatan seperti Mee Kolok, Laksa Sarawak, Kek Lapis Sarawak, persembahan seni tari pelbagai etnik sehinggalah jualan kraftangan, semuanya mempunyai keunikannya tersendiri.

“Maka tidak hairanlah sambutan festival mega ini cukup signifikan dari segi tagline ‘Malaysia- Truly Asia’,” ujarnya.

Jelas beliau, sesuai dengan tema sambutan Citrawarna Keluarga Malaysia – ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ sekali lagi menampilkan kehebatan dan keunikan seni, budaya serta warisan rakyat Malaysia.

“Di Sarawak sahaja contohnya terdapat 28 etnik yang mencorak keunikan budaya, menjadi kebanggaan bukan sahaja rakyat di Bumi Kenyalang tetapi seluruh Keluarga Malaysia amnya,” tegas beliau.

Untuk rekod, sambutan Citrawarna kali ini turut menampilkan Konsert Sape dan akan berlangsung di Dataran Tebingan Kuching malam esok yang turut melibatkan 250 orang pemain Sape dan bakal dicatatkan dalam “Malaysia Book of Records” dengan penyertaan pemain sape terbanyak di dunia.

Hadir sama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta wakil yang lain. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI