LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan bagi mengesan 14 pemancing dan empat kru sebuah bot yang dilaporkan hampir karam di kedudukan kira-kira 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah di sini kira-kira pukul 2 petang tadi.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bagi mengesan bot tersebut.
“Kita telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Tenggol, bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 bagi operasi carilamat sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, maklumat kejadian juga turut disalurkan kepada agensi sahabat seperti Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti nelayan setempat.
“Sektor operasi diperluaskan daripada lima batu nautika hingga ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot itu,” ujarnya.
Tambahnya, penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.
“Sehingga kini pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.