PONTIAN – UMNO sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) bersedia mendepani pertandingan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi berkata, pertambahan calon bertanding disebabkan kewujudan banyak parti-parti serpihan ketika ini.
Kata beliau, situasi sama turut dihadapi pada PRN Melaka sebelum ini apabila calon BN perlu berdepan pertandingan dua, tiga dan empat penjuru pada pilihan raya tersebut.
Menurutnya, BN namun yakin dengan sokongan yang masih diterima termasuk oleh mereka yang sebelum ini menolak BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)
“Rasa penyesalan mereka ini kami yakin akan diterjemahkan pada PRN Johor dengan menyokong calon-calon BN kali ini supaya kesilapan lalu tidak berulang,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan BN bagi DUN Pulai Sebatang di sini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Mahadzir Khalid, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubongan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khair Baharom.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertembungan lebih dua penjuru di kebanyakan DUN pada PRN Johor selepas selesai penamaan calon pada hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat dua DUN menyaksikan pertembunghan tujuh penjuru iaitu di DUN Tiram dan Kempas, manakala 35 DUN bagi empat penjuru.
Tambah Zahid, pihaknya yakin seluruh jentera pilihan raya BN telah bersiap sedia menjalankan tugas masing-masing tanpa memikirkan soal pertandingan banyak penjuru.
“Mereka (pembangkang) didapati tidak bersefahaman dan ini menunjukkan hanya bertanding mengikut blok-blok masing demi untuk menentang BN,” jelasnya
Tambah Zahid, BN tetap bersedia menghadapi apa saja situasi dan memastikan BN kekal memerintah negeri Johor dengan majoriti lebih kukuh. – KOSMO! ONLINE